Saturday, August 20, 2011

RM3.5j mercun, bunga api dirampas

PUTRAJAYA 19 Ogos - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sejak awal tahun ini, berjaya merampas mercun dan bunga api bernilai RM3.5 juta dengan nilai cukai RM2.2 juta dalam operasi di seluruh negara.


Terbaru di Selangor, JKDM dalam tempoh tiga hari sahaja merampas 146,065 kotak mercun dan bunga api bernilai RM804,646 dengan nilai cukai RM523,019.

Bunga api dan mercun tersebut ditemui dalam tiga operasi yang dijalankan di Bandar Tasik Puteri, Rawang; Bandar Sungai Long, Kajang dan Taman Datuk Ahmad Razali, Ampang pada 17 Ogos hingga hari ini.

Penolong Ketua Pengarah Kastam, Datuk Zainul Abidin Taib berkata, lima lelaki ditahan kerana menyimpan pelbagai jenis mercun dan bunga api termasuk Dragon Eggs, Conic Fountain, Camalia Flowers dan Whistling Moon Travelling.

"Mereka yang melakukan kesalahan pertama berdepan denda tidak kurang 10 kali ganda dan tidak lebih 20 kali ganda dari nilai barang atau hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

"Bagi kesalahan berulang pula, pesalah akan dikenakan denda tidak kurang 20 kali ganda dan tidak lebih 40 kali ganda nilai barang atau hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Zainul Abidin berkata, JKDM akan mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang menyeludup atau menyimpan mercun dan bunga api.

"Untuk makluman, hanya dua jenis bunga api iaitu Pop Pop dan Happy Boom yang tidak membabitkan unsur letupan dibenarkan diimport.

"Orang ramai diseru memberi maklumat mengenai sebarang aktiviti penyeludupan kepada JKDM melalui talian bebas tol 1-800-88-8855," katanya.

Sumber: Utusanonline

0 comments:

Design by The Blogger Templates Karjat Resorts

Design by The Blogger Templates