Wednesday, August 24, 2011

Kanggaru curi seluar dalam wanita dari ampaian

PRAGUE, Republik Czech - Seekor kanggaru yang terlepas daripada jagaan seorang pemiliknya ditangkap kerana mencuri beberapa helai seluar dalam wanita di ampaian di sini, lapor sebuah akhbar semalam.


Haiwan jantan itu yang diberi nama Benji dan berusia dua tahun ditangkap polis selepas seorang wanita melihat ke arah tingkap dan mendapati ia mencuri seluar dalam miliknya yang disidai.

Sebelum ditangkap, polis mendapat panggilan daripada penduduk yang mengadu mengenai kehilangan seluar dalam di ampaian baru-baru ini.

Seorang jurucakap polis menjelaskan bahawa pihaknya juga menerima aduan daripada pemilik kanggaru itu bahawa haiwan tersebut telah melarikan diri.

Menurutnya, ketika itu, polis tidak berpendapat bahawa kedua-dua kes berkenaan mempunyai kaitan.

Pemilik haiwan itu, Petr Hlabovic, 35, berkata: "Saya berasa amat lega kerana mendapat semula haiwan itu. 

"Pastinya, haiwan itu tidak mendapat tabiat tersebut daripada saya." - Agensi

sumber: kosmo online

Tuesday, August 23, 2011

Hayatinya bersama..Marilah memuji kebesaran yang Maha Esa

Penyanyi : Sami Yusuf
Tajuk Lagu : Asma Allah

Patung monyet diguna untuk cegah pandu laju

CHANGSA - Polis China menggunakan patung-patung monyet yang dipakaikan dengan jaket pemantul cahaya sebagai usaha untuk menghalang pemandu memandu kenderaan dengan laju, lapor sebuah akhbar kelmarin.


Patung-patung itu diletakkan di tepi jalan raya di bandar ini.

Beberapa pegawai undang-undang di bandar ini berharap patung yang ganjil itu akan dapat memberi peringatan kepada pemandu supaya jangan melanggar undang-undang.

Salah satu daripada idea unik itu dilaksanakan di sebatang pokok.

Beberapa patung monyet yang memakai jaket tersebut berlonggok di pokok tersebut.

Salah satu patung tersebut dilihat bergayut pada dahan pokok itu. - Agensi

Monday, August 22, 2011

Kolam renang paling padat di dunia

DAYING, China – Lebih sejuta orang telah mengunjungi sebuah kolam renang gergasi yang dikenali dengan nama Laut Mati China dan terletak di sebuah taman tema air di sini, wilayah Sichuan.
 
Ramai pengunjung mandi di kolam tersebut walaupun ia dipenuhi dengan orang ramai pada cuti hujung minggu baru-baru ini.

Taman tema dalam bangunan itu merupakan taman tema air terbesar di China merangkumi kawasan seluas 30,000 meter persegi. 

Laut buatan itu mengandungi 43 bahan mineral.

Ekoran kadar kemasinan kolam itu lebih 22 peratus, orang ramai akan mudah terapung sama seperti di Laut Mati di Asia Barat. – Agensi

Guna seluar dalam rompak kedai

DALLAS, Amerika Syarikat - Seorang perompak menggunakan seluar dalam untuk menutup wajahnya semasa dia merompak di sebuah kedai di sini, lapor sebuah akhbar semalam.

Polis kini sedang memburu lelaki berkenaan selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menyiarkan aksi lelaki tersebut merompak sebuah kedai serbaneka.

Rompakan itu berlaku pada Selasa lalu dan dia meminta lelaki di kaunter pembayaran menyerahkan kepadanya sejumlah wang tunai.

Perompak itu menggunakan sehelai seluar dalam berwarna putih dan pakaian lain untuk menutup wajahnya semasa dia merompak. - Agensi

Sunday, August 21, 2011

Maut kena petir waktu guna telefon

TANAH MERAH – “Saya mahu tidur puas-puas.” Itu ungkapan aneh yang diucapkan Siti Munirah Nordin (gambar), 13, pada cuti Nuzul Al-Quran Rabu lalu kepada ibunya sebelum remaja itu maut dipanah petir di bangsal berhampiran rumahnya dipercayai sedang menggunakan telefon bimbit di Kampung Belimbing di sini kelmarin.


Dalam kejadian pada pukul 5.50 petang itu, Siti Munirah meninggal dunia di tempat kejadian dengan kecederaan pada muka sebelah kanan dan kesan terbakar pada telinga, rambut dan punggung.

Mayat mangsa ditemui abangnya, Mohd. Firdaus, 16, pada pukul 9 malam setelah ahli keluarganya keluar mencarinya selepas tidak pulang ke rumah untuk berbuka puasa sejak keluar pada pukul 4.30 petang.

Telefon bimbit milik ibunya yang dipinjam mangsa pula ditemui di atas tanah di bawah bangsal tersebut. 

Mangsa merupakan pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Belimbing di sini.

Ibunya, Rosnah Dollah, 49, berkata, pada mulanya dia menyangka Siti Munirah pergi berbuka puasa di rumah kawannya tetapi terkejut apabila mendapat tahu kawan anaknya itu pulang ke kampungnya di Salor dekat sini.

“Sebelum kejadian, Siti Munirah sedang menggunakan telefon bimbit saya di dalam rumah dan apabila saya menegurnya kerana berbual terlalu lama, dia terus keluar dari rumah.

sumber: kosmo online

Saturday, August 20, 2011

Kasih Seorang Ayah..Hayatilah

RM3.5j mercun, bunga api dirampas

PUTRAJAYA 19 Ogos - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sejak awal tahun ini, berjaya merampas mercun dan bunga api bernilai RM3.5 juta dengan nilai cukai RM2.2 juta dalam operasi di seluruh negara.


Terbaru di Selangor, JKDM dalam tempoh tiga hari sahaja merampas 146,065 kotak mercun dan bunga api bernilai RM804,646 dengan nilai cukai RM523,019.

Bunga api dan mercun tersebut ditemui dalam tiga operasi yang dijalankan di Bandar Tasik Puteri, Rawang; Bandar Sungai Long, Kajang dan Taman Datuk Ahmad Razali, Ampang pada 17 Ogos hingga hari ini.

Penolong Ketua Pengarah Kastam, Datuk Zainul Abidin Taib berkata, lima lelaki ditahan kerana menyimpan pelbagai jenis mercun dan bunga api termasuk Dragon Eggs, Conic Fountain, Camalia Flowers dan Whistling Moon Travelling.

"Mereka yang melakukan kesalahan pertama berdepan denda tidak kurang 10 kali ganda dan tidak lebih 20 kali ganda dari nilai barang atau hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

"Bagi kesalahan berulang pula, pesalah akan dikenakan denda tidak kurang 20 kali ganda dan tidak lebih 40 kali ganda nilai barang atau hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Zainul Abidin berkata, JKDM akan mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang menyeludup atau menyimpan mercun dan bunga api.

"Untuk makluman, hanya dua jenis bunga api iaitu Pop Pop dan Happy Boom yang tidak membabitkan unsur letupan dibenarkan diimport.

"Orang ramai diseru memberi maklumat mengenai sebarang aktiviti penyeludupan kepada JKDM melalui talian bebas tol 1-800-88-8855," katanya.

Sumber: Utusanonline

Cukup kejam! Bayi masih bertali pusat ditinggalkan di R&R

SUNGAI SIPUT – Seorang bayi lelaki dijumpai ditinggalkan di dalam sebuah kotak di dalam surau wanita kawasan Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Salak Baru di sini semalam.

Bayi yang masih bertali pusat itu dijumpai seorang pekerja Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) pada pukul 7.15 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata, pekerja MPKK terbabit yang sedang membersihkan surau di hentian berkenaan curiga dengan kandungan sebuah kotak di kawasan tersebut.

“Sebaik kotak itu dihampiri, dia mendengar bunyi tangisan bayi dari dalam kotak tersebut. Pekerja MPKK itu kemudiannya memaklumkan penemuan bayi tersebut kepada pihak polis,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Dzuraidi berkata, bayi lelaki berkenaan yang dibalut dengan kain batik itu masih dalam keadaan sihat dan dihantar ke Hospital Sungai Siput di sini untuk pemeriksaan.

Menurut beliau, tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui bersama bayi berkenaan yang dipercayai ditinggalkan ibunya.

“Polis sedang mengesan ibu bayi berkenaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis Sungai Siput di talian 05-5981222 untuk membantu siasatan,” katanya.

sumber: kosmo online

Wednesday, August 3, 2011

Pengguna Internet Explorer Miliki IQ Yang Rendah

NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) - Satu kajian baharu mendapati para pengguna perisian Internet Explorer (IE) adalah bodoh kerana mereka memiliki purata tahap kecerdasan intelektual (IQ) cuma 80, lapor sebuah akhbar semalam.

Internet Explorer (IE) yang mula digunakan pada awal 1990-an merupakan sistem operasi komputer popular ciptaan firma Microsoft yang diterajui bilionair, Bill Gates. 

Kajian tersebut dilakukan oleh firma perunding Kanada, AptiQuant yang menguji 101,326 orang berusia 16 tahun dan ke atas dari pelbagai negara termasuk AS, Kanada, Britain, Australia serta New Zealand. 

Mereka diminta mengambil ujian IQ manakala sistem operasi dan lokasi komputer mereka direkodkan menerusi alamat protokol Internet (IP).

Kajian mendapati mereka yang menggunakan IE rata-ratanya hanya memiliki IQ cuma sekadar 80.

Menurut skala IQ, kepintaran manusia normal ialah 100 manakala angka 80 dan ke bawah menunjukkan seseorang itu mengalami terencat akal.

Kajian sama mendapati pengguna sistem operasi Firefox atau Google Chrome memiliki IQ melepasi tahap normal iaitu sekitar 110.

Pengguna sistem operasi Opera atau Camino dikategorikan sebagai paling bijak dengan tahap IQ sekitar 120.

Kajian tersebut merumuskan bahawa IE masih popular dalam kalangan jutaan pengguna kerana ia mudah dan seseorang itu tidak memerlukan IQ yang tinggi untuk menggunankannya.
- Agensi 

sumber kosmo online

Design by The Blogger Templates Karjat Resorts

Design by The Blogger Templates